Monday, August 26, 2013

bunga tiga bulan - part 2

Chocolate small cake by Anna.Khatskevich
Chocolate small cake, a photo by Anna.Khatskevich on Flickr.
“Fobia paling besar untuk seorang pengusaha kafe ialah ulasan yang teruk pasal kafenya,” kata Nina.

Yasmin terdiam. Jujurnya sejak bertemu Nina pagi tadi, dia tak bercakap banyak. Hendak dikatakan lebih banyak berfikir, mungkin tidak. Satu apa pun tak melekat di dalam kepalanya.

Terbayang di matanya senyuman manis avatar pemilik tweethandle @firazafarin. Dia sudah naik hafal dengan tulisan dalam bio beliau. – “penggila kopi...bla..bla...kepala lutut..kepala bana...bla...” 

Menyampah! 

Hydrangea Cafe bukan sekadar kedai kopi. Seluruh usaha hidupnya dicurahkan bagi memastikan cita-citanya untuk memiliki kafe sendiri tercapai. Pengalaman dari kecil bekerja di warung kampung, kopitiam di pekan,hotel-hotel dan rangkaian kedai-kedai kopi terkenal seperti Starbucks dan Coffee Bean digunakan sebaiknya. Dia masih ingat bagaimana dia pernah mengumpul segala hasil titik peluh demi untuk mendapat ilham seperti Howard Schultz. 

Berpuluh jam dia bekerja semata-mata hendak melihat sendiri Cafe dell Carozze di Chiavari. Dia juga sanggup menjadi Michael Gates Gill yang bekerja sebagai barista bagi memastikan operasi sesebuah kafe difahami sebelum dia meminta pinjaman kewangan dulu.
Bukan mudah juga mencari rakan kongsi. Ketika dunia bergolak tentang krisis Enron dan terpaksa bersaing dengan auditor lain untuk mencari kerja, dia ditemukan dengan peguam comel bernama Adina yang mesra dipanggil Nina.

Nina menguruskan banyak kes hartanah dan kebetulan seorang penggemar kopi dan buku seperti dirinya. Gadis bermata sepet itu seperti tahu apa yang dia cita-citakan dan tidak lokek berkongsi ilmu dan modal. Syarat Nina hanya satu: uruskan operasi kerana dia masih perlu jadi seorang peguam. Takkan hendak biarkan saja kepala dipijak dengan ulasan tak masuk akal?

“Aku rasa masa Maria Tunku Sabri buat Jalan-Jalan Cari Makan, tak pernah pula dia kata ‘tak sedap ni tuan-tuan dan puan-puan. Tak payahlah datang atau makan.’ "

“Itulah pasal!” Yasmin merengus kasar. 

“Waima blogger paling hipokrit pun tak guna perkataan yang dia guna ni. Paling teruk pun mungkin diorang akan kata ‘ini lawatan terakhir’”, sambung Nina lagi.

“Nina...kalau tak, aku tak datang cari engkau!” getus Yasmin bila semakin tidak keruan untuk mendengar. 

“Engkau takut benda ni akan merebak. Nanti orang tak datang Hydrangea Cafe lagi. Itu fobia terbesar engkau kan?” soal Nina dengan senyum segaris. Yasmin mengangguk lemah. Kepala yang mula berdenyut dipicit-picit. 

“Bodohlah kau ni, Min,” Nina tergelak. Yasmin melopong. Kening kiri diangkat tanda tak puas hati.

“Engkau ingat macam mana aku boleh sampai ke Artisan Roast ni? Bukannya dekat dengan Ampang,” tanya Nina.

“Manalah aku tahu.”
“Facebook. Instagram. Twitter. Semua itulah,” jawab Nina dengan riang.
“Cliche. Main stream. Poyo,” tingkah Yasmin. 
Yang cliche, main stream dan poyo tu yang orang kejar, Min,” sengih Nina semakin menyakitkan hati. Aku menggeleng. 
“Gila glamer semua tu, Nina.”

“Hey! Memanglah. Bisnes kena glamer baru orang datang, Min. Tak ada siapa yang akan datang Hydrangea Cafe ni kalau promosi tak ada. Setakat letak dekat board tulis pakai kapur depan kedai tu bukan promosi namanya. Dah lupa dulu belajar Principles of Marketing? ” jawab Nina sambil tergelak. 

Matanya mencerun memandang peguam comel yang sentiasa positif. Kalaulah dia boleh pinjam kekuatan Nina untuk menghilangkan fobia di hatinya. Kalaulah gelak tawa Nina boleh membuatkan kegusarannya terpadam. Kalaulah sinar mata Nina boleh memberikan dia kekuatan bahawa masih ada lagi manusia yang akan datang ke Hydrangea Cafe walaupun selepas membaca ulasan si tweetfamous bernama Fira Zafarin. Alangkah bagusnya. 

“Kalau kau tak kisah Min, aku ada sesuatu nak cakap.” 

“Apa dia?” tanya Yasmin acuh tak acuh. “Kau bukan fobia orang tak datang Hydrangea Cafe lepas baca review teruk. Pada aku, kau fobia dengan Fira Zafarin,” bahasa mata Nina seolah memaksa. Yasmin membisu.

“Cuba kau cerita sikit, Min. Apa yang si Fififafafufu ni dah buat dekat engkau?”

Monday, August 19, 2013

bunga tiga bulan - part 1

:: Friday hydrangeas :: by simple pretty
:: Friday hydrangeas ::, a photo by simple pretty on Flickr.
“Selamatlah pagi.”

Tweet Khairul Nizam Bakeri sering membuatnya tersenyum. Tuan punya tweethandle itu juga sering membuatkan dia kagum bagaimana menulis sesuatu itu kelihatan mudah tapi akhirnya membawa hasil yang menakjubkan. Tak pecahkah otak memerah idea agaknya? Dia selalu tertanya-tanya.

Lambat-lambat dia usap skrin sentuh iPad miliknya. Timeline diteliti perlahan-lahan. Bibirnya umpama si tukang kayu. Ada masanya ukir senyuman. Ada masanya segaris. Ada masanya berbentuk. Lesung pipit hasil dari pengumpulan sel-sel mati di sebelah kiri bibir kelihatan tenggelam timbul mengikut reaksinya.

“Tema majlis perkahwinan kami nanti adalah Twitter!”

Bulu tebal atas mata sebelah kiri mula terangkat. Jari telunjuk menekan lembut paparan twitpic yang disertakan. Sekeping kad jemputan majlis pekahwinan ditayangkan. Burung berwarna biru dan doodle kedua bakal mempelai menjadi hiasan kad perkahwinan. Segala butiran dari nama seisi ahli keluarga, alamat dan nombor telefon terpampang di skrin kaca. Leher menggeleng. Takkan tak fikirkan keselamatan langsung? Tak ada langsung rasa fobia kalau tiba-tiba kenduri diserbu Bangla? Dia ni anak orang kaya mana yang boleh sumbat semua orang jadi tetamu tanpa buat belanjawan? Atau adakah dia pengamal ilmu hitam yang boleh membalas santau?

Hidung menghela nafas. Ketika dia hendak menyedut, deria bau berfungsi. Kecur air liur di bawah lidah bila terbayangkan bunyi biji kopi dikisar. Sedikitpun telinganya tidak bingit. Bagaimana obsesnya dia kepada muzik adik-beradik Gallagher dari Oasis, begitu juga hantunya dia dengan bunyi bising bijian keras dipalu bilah-bilah mesin. Bunyi tersebut umpama terapi, terasa melegakan sambil jari meluncur atas skrin kaca.

“Seorang artis kata beliau bangun tidur lambat disebabkan terkena buatan orang. Mungkin aku pun macam tu.”

Gigi tiga puluh dua batang menghiasi wajah. Dia menyeringai sambil dada berombak menahan ketawa. Buatan orang? Tak ada alasan yang lebih logik ke? Kadang-kadang tequila yang dituang rakan-rakan atau bibir merah lembap milik si mungil boleh saja buat kau bangun lambat kan? Jangan nak bagi alasanlah! 

Tapi mana mungkin hendak diberitahu satu dunia yang engkau termasuk golongan yang ada dua, tiga atau sepuluh identiti? Bagaimana hendak beritahu dunia yang engkau seorang hijabista yang gemar meramas tangan teman lelaki ketika bersiar-siar? Bagaimana hendak beri justifikasi pada kawan-kawan yang engkau adalah perokok tegar tapi bila depan isteri, bibir merah jambu suci seolah tak pernah dicemar nikotin? Bagaimana hendak jawab dengan ibu dan ayah bahawa engkau tak pernah tinggal kewajipan lima waktu tapi bila kawan-kawan riuh hendak melompat dan bernyanyi di stadium bola pada waktu Maghrib, engkau buat tak nampak penyokong lain sujud di belakang curva? 

Hipokrit.

Memang tak elok menyamakan manusia dengan binatang. Tapi golongan ala sesumpah memang ramai dalam dunia. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya media sosial yang mengajak manusia untuk mempunyai tanda nama tertentu untuk nampak hebat sentiasa. Segala aktiviti dirakam dan dihebah. 

Mula-mula dulu Friendster. Kemudian MySpace. Tiba-tiba Blogger dan Wordpress membuka peluang untuk manusia menulis mengenai diri mereka. Bila wujud Facebook, lebih banyak imej yang perlu dijaga. Bila adanya Twitter, macam-macam jenis berita tersebar. Segala jenis kek dan lempeng ditayang dalam Instagram. Walaupun bibir bersalut air liur basi tapi baunya tak pernah melekat di dalam Keek. 

Dia bukan sesiapa pun di media sosial. Facebooknya hanya untuk keluarga dan rakan-rakan. Twitternya hanya ada mat salleh sesat yang follow sekali sekala. Instagram dan Keek tak pernah jadi minatnya. Dia tak pernah kejar pangkat tweetfamous yang nampaknya lebih tinggi dari pangkat pengarah jabatan kerajaan itu. Tak rugi rasanya jika satu dunia tak nampak dia berbaju kelawar dan berbedak sejuk dalam video.

“#JelajahFixiLejen akan menemui anda di Buku Jalan Seremban. Mari melejen!”
“Shawl 3 Layer menyembunyikan dagu berlapis! Siapa berminat sila DM.”
“Semalam makan dekat Full House Cafe rasa macam dalam cerita Korea!”

 Perut berbunyi. Masa untuk sarapan.

“Sha! Espresso double shot!” dia memekik.

“Aye aye! One Hydrangea Espresso!” Sha si barista menjawab sahutannya.

Lima minit kemudian, dia datang menatang dulang yang ada tiga perkara kegemarannya: kopi, buku dan sekuntum hydrangea.

“Mana kau dapat?” dia bertanya sambil bibir menjuih ke arah buku paperback di hadapan mata. Matanya mencerun memandang wajah Sha yang tenang.

“Aku order online.”
“Kau pakai duit kau ke?” Anggukan dilihat.

“Sha...lain kali pakai duit dalam bajet buku kita. Kalau minta, mesti aku bagi,” dia menggeleng. Sha hanya tersenyum. 

Cuba baca dululah, Min. Mana tahu okay pulak. Tak okay boleh bagi aku balik.”

Dia hanya mengangguk sambil menyelak helaian kertas di depan mata. Diari Si Barista. Bunyi menarik. Siapa yang tulis? 

“Seorang penggila kopi yang akan menggigil kepala lututnya jika tidak menjamah kafein. Pencinta kicauan di Twitter.” 
-@firazafarin 

Hydrangea diletak di celah buku. Punggung diangkat. Kaki mula melangkah. 

 “Kau jaga kedai, Sha. Aku nak cari orang!” 
 “Siapa?!”

 Soalan Sha tidak diendahkan.

Monday, July 15, 2013

heroin - amal hamsan - lejen press

Buku Aku. Dan bunga ibu :)
Tajuk:
Heroin

Penulis: 
Amal Hamsan

Penerbit: 
Lejen Press

257 muka surat

Sinopsis: 

Mungkin mood aku tengah baik sebab aku beri Heroin 5 bintang. Selain dari Seekor Pipit dan Sekuntum Mawar, tak ada lagi antologi yang dapat sampai macam tu jumlah bintangnya dari aku. Bukan senang. Fixi yang aku suka bangat buku-bukunya pun aku tak dapat nak bagi 5 bintang lagi sebab belum cukup ngam, tapi antologi sepenuhnya tulisan Amal Hamsan ni aku beri 5 bintang.

No doubt. Aku beli Heroin pada Pesta Buku Antarabangsa KL baru ini. Kira lambat jugalah aku ni. Maklumlah, buku ni dah dikeluarkan pada tahun 2011 dan buku yang aku beli pun dah cetakan ketiga. Nak kata diri sendiri ketinggalan zaman pun tak jugak.

Terus terang aku katakan Heroin ni mungkin tak akan famous kalau tidak kerana Amal Hamsan keluarkan bukunya yang baru iaitu Seyogia. Promosi Seyogia pun beriya-iya sampaikan aku hendak tak hendak terasa seperti nak "test" baca cerita Amal Hamsan dengan Heroin.

 Bukan tak pernah baca tulisan Amal Hamsan. Bahkan sebenarnya, aku sendiri tersengih-sengih bila dapat tengok nama aku tertulis di bawah namanya dalam antologi cerpen Kali Pertama. Aku pernah baca tulisannya dalam Kopi. Tapi mungkin ada tulisan-tulisan lain yang lebih outstanding, aku tak nampak sangat tulisannya waktu itu.

Kulit Heroin - cantik. Cuma kurang kemas. Kena kemaskan sikit lagi supaya petak2 macam gambar pixel pecah tu tak ketara sangat bila direnung dalam-dalam. (atau sengaja?) Tapi aku suka tema kulitnya. Macam tengok cover album Evanescence dengan Meena Harker sebagai model.

 Feminin. Tapi dark. Aku suka. 

Perasaan membaca Heroin adalah hampir sama dengan perasaan membaca Seyogia. Yang terlintas dalam kepala aku hanya dua perkataan, "Domestic Violence."

Tapi mungkin aku lebih suka Heroin dari Seyogia sebab aku rasa dalam Heroin ni masih ada keras yang boleh dilembutkan, salah diperbetulkan, dan dosa diampunkan. Sebab bagi aku cuma satu, bukan semua benda dalam dunia ni mesti berakhir tragis. Walaupun kita suka kalau sesuatu yang jahat ada pengajarannya, tapi bukan semua pengajaran itu mesti berakhir dengan kematian - kena bunuh, kena rogol, sakit tenat. Atau semua orang jahat mesti dihukum dengan panah petir.

Wooiiii...banyak sangat tengok Hindustan ke?! 

Tapi bila aku baca Heroin, aku jadi suka. It's like the younger version of me, talking to myself. Yang sekarang dah berumur 30 tahun. Aku mungkin masih kebudak-budakan dari pelbagai segi, yang berfikir macam-macam sebelum buat keputusan. Tapi satu masa dulu aku pun pakai redah je macam watak-watak yang Amal Hamsan ceritakan.

Jadi aku faham.

Ya, umur yang mentah kadang-kadang buat kita rasa dewasa tapi sebenarnya tidak. Memandang cerpen-cerpen dalam Heroin buat kau rasa, "Haishh....dulu aku pun pernah fikir macam ni. Tapi...salah sebenarnya." 

Tulisan Amal Hamsan ni detailed dan kemas. Itu buat aku tertarik nak baca kedua-dua buku yang aku beli di PBAKL itu hari. Dia tak sewenang-wenang meletakkan diri atau watak sebagai hakim. Ada separuh tulisan tu kau boleh jadi meluat. Lagi-lagilah kalau penulis ada akaun Twitter yang bash orang sana-sini, unmention dengan konon-konon diri tu sarkastik tapi sebenarnya plastik. Rasa nak hempuk saja buku tu kat kepala dia.

Tapi semua tu kau akan susah nak jumpa dalam buku Amal Hamsan. Tulisan yang jujur ni buat kau rasa nak mendekati buku tu lepas membacanya. Macam seorang awek yang jujur, kau rasa mahu kenal lagi rapat selepas salam dijawab kali pertama. Itu perasaan aku bila baca Heroin. 

Emosi aku bila membaca cerpen-cerpen dalam Heroin akan berubah-ubah mengikut watak Heroin tu. Aku suka bila Amal Hamsan ni jenis guna nama yang senang disebut. Memang kepantangan aku kalau membaca lepas tu terkial-kial nak menyebut nama watak. Ya, terima kasih Amal Hamsan. Lidah aku masih berfungsi seperti biasa :)

Satu saja yang aku kurang setuju. Filem Fiksi dengan Gadis Sigaret tu agak kurang umph untuk diletak sebagai 2 cerpen di depan. Kalau boleh aku harap Lejen Press asingkan kedua-dua cerpen ni sebab pada aku kedua-dua ni kalau nak dibanding dengan cerpen-cerpen yang lain, memang agak ketinggalan. Untuk aku sebagai pembaca yang travel sini sana, aku prefer kalau cerpen awal dan akhir tu boleh memikat aku sampai aku taknak lepaskan buku. Ini satu benda yang belum boleh dibuat oleh Heroin.

Tapi satu antologi cerpen tu mestilah kena dengan tema dan sinopsis. Aku dah boleh agak bila ending setiap cerita Heroin tak berapa berbunga-bunga. Realiti hidup kan? Lagipun bukan dia tak cerita dalam sinopsis. Bukan dia tak tunjuk dengan kulit yang malap? Baca buku pun kena tabah :)

Itu yang aku puji sangat-sangat. Ada separuh antologi tu berkonsep. Nampak seronok tapi tak seronok pun sebenarnya. Kadang-kadang kau confuse kenapa cerita itu macam itu dan macam ini sebab kau dah letakkan expectation awal-awal. Tapi, rasanya yang buat aku puas hati dengan Heroin ialah bila semua expectation aku tu seolah kena tepat. Terasa pelaburan dan perangai "pakai redah je nak beli buku apa" seakan berbaloi-baloi.

Aku tak mahu komen satu persatu cerpen dalam Heroin. Nanti rosak mood yang nak membaca. Sila beli dan sila hayati. Dalam semua-semua cerpen tu aku paling suka sekali dengan Khilaf, Penulis dan Once.

Yep! Aku ada terjatuh hati sikit dengan watak dalam ni iaitu seseorang di dalam Once. Teringat makcik ni dek kisah-kisah lama :P

Apapun tahniah Amal Hamsan dan terima kasih. Tak sia-sia Lejen letakkan anda sebagai penulis perempuan sebab...GIRL POWER! Yeah...I tend to like you with this piece. Keep it up! Belilah. Bacalah :)