Friday, November 02, 2012

entry bahasa melayu saya


Sofia Jane

Menurut Wikipedia, Tun Teja Ratna Benggala atau Tun Teja, merupakan anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka kelapan. Tun Teja dikatakan terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang, namun begitu telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang.

Khabar kecantikan Tun Teja sampai ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian isterinya. Apa saja ceritanya, tak kisahlah sama ada melalui Hikayat Hang Tuah ataupun Hikayat Hang Nadim,  perkahwinan   Tun Teja dengan Sultan Mahmud Syah adalah kerana baginda tertawan dek keanggunan rupa paras wanita itu.

Yang pasti, sebut sahaja Tun Teja, mestilah dikaitkan dengan seorang perempuan yang cantik.  Cuba tengok filem Hang Tuah zaman P.Ramlee: 

Siapa yang melakonkan watak Tun Teja?   Seniwati Zaiton. Siapa pula yang berlakon sebagai Tun Teja dalam filem Puteri Gunung Ledang versi Tiara Jacquelina? Siapa lagi kalau bukan jelitawan Sofia Jane yang kekal cantik walaupun ketika itu sudah mempunyai beberapa orang anak.

Pendek kata, Teja itu cantik. Cantik itu Teja.

Tak pernah pula orang sebut Teja itu pendek. Atau tembam. Ataupun berjerawat. Dulu-dulu, waktu di sekolah, bila cikgu hendak buat pementasan drama Hang Tuah sempena Hari Penyampaian Hadiah, mesti berebut-rebut budak-budak perempuan nak jadi Tun Teja. Lagi-lagilah kalau watak Puteri Gunung Ledang sudah diambil oleh budak perempuan paling top di dalam kelas. Asalkan watak itu menggambarkan watak wanita cantik; tak kisahlah walaupun hanya watak minah pacak, ia akan tetap jadi rebutan. Siapa tak mahu jadi wanita cantik kan?

Tapi...

Kenapalah zaman sekarang orang suka beri nama anak yang bukan-bukan? Kata orang, nama itu menggambarkan personaliti. Ada orang lain pula kata, nama itu menggambarkan harapan dan doa. Contohnya, nama Nur menggambarkan cahaya. Jamilah pula menggambarkan kecantikan. Ramai orang beri nama anak mereka bermula dengan  Siti sempena nama wanita-wanita yang pernah mendampingi para nabi misalnya Siti Khadijah, Siti Aishah, Siti Hajar dan Siti Sarah.  Bila ibu bapa memberi nama yang baik-baik kepada anak-anak, itu bermakna ibu bapa mendoakan anak-anak melalui nama yang diberikan.

Nama seharusnya menjadi label seseorang. Bak kata orang putih, trademark. Bila seorang cikgu hendak memanggil nama anak murid di kelas, ataupun bila seorang jururawat kerajaan hendak menulis nama di kotak ubat, nama itulah yang akan disebut dan ditulis. Baik maknanya, baiklah doanya. Baiklah labelnya. Trademark yang diberi sesuai pada setiap waktu. Itulah yang diinginkan oleh setiap ibu bapa – supaya anak-anak mereka dipanggil dengan manis dan bermakna seperti nama yang indah!

Tapi...
Kenapa mesti ada nama yang tak kena dengan gaya? Ada nama yang tak padan dengan empunya diri? Ada nama yang terlalu jelek untuk disebut sebab walau berapa ribu kali dipanggil masih tak boleh merubah apa yang ada pada tuan punya nama?

Teja Zakiah binti Ahmad Zahid. 

Itulah nama yang diberi oleh ibu dan ayah sejak pertama kali melihat wajah puteri sulung mereka 30 tahun yang lalu. Kata ibu, memang dia sudah rancang awal-awal lagi hendak menamakan aku sedemikian. Bila aku tanya kenapa dia namakan aku dengan nama itu, ibu beri aku jawapan Wikipedia. Maklumlah, ibu kan guru Sejarah. Setiap soalan aku mesti dijawab dengan fakta-fakta sejarah. Masa kecil-kecil lagi aku sudah pandai soal dasar pecah dan perintah. Mana tidaknya, bila ke bandar, ibu akan berikan peniaga-peniaga Cina sebagai contoh pembukaan kampung baru di bandar-bandar. Bila ke kampung, ibu buka cerita sistem pemerintahan beraja. Bila lalu kawasan estet, mulalah ibu cerita pasal masyarakat India zaman dahulu. Hasilnya? Aku kenal H.N Ridley yang memperkenalkan getah seawal usia 10 tahun. Masa sekolah rendah!

Zakiah
Cerita ibu selalunya meleret-leret sampailah apa orang zaman dahulu makan, macam mana mata wang dulu-dulu. Kalau ibu boleh dijadikan contoh manusia yang workaholic sampaikan terbawa-bawa ke kehidupan seharian, akulah manusia pertama yang akan angkat tangan tanda setuju. Kadang tertanya juga aku pada ibu, nama Zakiah itu asalnya dari lagu ke? Maklumlah, selain dari berangan nak jadi macam Prof Dato’ Khoo Kay Kim, ibu juga sukakan muzik terutamanya lagu-lagu Ramli Sarip.

Jangan dikatakan nama sempena nama penari gurun pasir ternama sudahlah.

Alhamdulillah, bukan itu rupanya maksud nama aku. Zakiah itu bermakna yang cerdik atau yang bersih, bergantung pada ejaannya. Kata ibu, manalah tahu aku ada orang salah eja nama aku, maksud nama tak akan terjejas. Yang cerdik atau yang bersih dua-dua tetap jadi pilihan dan pada ibu, pilihan itulah pilihan paling tepat dalam hidupnya.

Sebab itulah aku lebih suka orang panggil aku Zakiah. Kan molek? Selain dari mendoakan aku semakin cerdik atau semakin bersih, nama itu juga dapat menutup nama pertama aku: Teja. Nama yang ada maksud dan bukan nama “sandarkan pada kenangan” itu. Kalau boleh, biarlah orang tak tahu apa sebenarnya nama penuh aku.

Tapi...

Sudah jadi lumrah, setiap kali nama seseorang itu dipanggil, mesti orang akan panggil nama yang pertama dulu. Lainlah di negara barat yang sah-sah akan gelar aku dengan nama Miss Ahmad Zahid, di tanah tumpahnya darahku ini pula lain ceritanya. Bila aku sebut Zakiah, orang tetap akan panggil Teja. Salahkan guru kelas aku masa darjah satu. Kata orang, apa yang cikgu darjah satu kita panggil, itulah yang kawan-kawan selalunya ikut. Bila cikgu panggil Teja,  kawan-kawan ikut panggil Teja. Jadi bermulalah episod hidup seorang gadis bernama Teja yang rupanya mungkin tak seindah ceritera cinta di zaman kegemilangan Sultan Mahmud Syah atau perkasanya Hang Tuah...

* * * * *

Mengikut kontrak yang telah dimeterai di antara  Teja Zakiah binti Ahmad Zahid dan majikannya Communicate Sdn Bhd, waktu bekerja bagi seorang eksekutif biasa yang bekerja tanpa syif adalah di antara 8.30 pagi sehingga 5.30 petang. Seingat aku, itulah yang pernah aku tandatangani dulu. Kalau aku buka balik almari berhabuk di kampung, salinan surat tawaran aku mesti mengatakan perkara yang sama.

Cuma macam biasalah. Mana ada kerja yang mengikut waktu  macam cerita Samarinda. Kalau selalu kita tengok Rosyam Noor, Aaron Aziz ataupun Fahrin Ahmad dapat bawa buah hati pergi candle light dinner lepas balik kerja, secara realitinya aku boleh katakan, sampai mati pun aku tak akan dapat jadi buah hati mereka. Mana tidaknya, kerja aku bermula pukul 5.30 petang; di mana waktu itulah sebaik-baiknya akan aku gunakan untuk menghadap komputer menyiapkan laporan. Kalau waktu normal pejabat? Jangan haraplah!

Apa tidaknya, bekerja di Jabatan Sumber Manusia menyebabkan waktu aku terikat dengan mesyuarat, discussion, open door session, interview dan sebagainya. Ada masanya hendak baca e-mail pun  payah. Mungkin disebabkan aku bekerja dengan syarikat yang menjual telefon bimbit, jadi dapatlah aku pakai Blackberry. Kata kawan-kawan, aku bertuah. Tapi, Blackberry itulah juga yang mengikat aku dengan segala aktiviti pejabat. Ada masanya sehingga ke tengah malam. Tak kurang juga mengganggu dan membantutkan suasana ceria aku dengan keluarga dan kawan-kawan.

Ramai kawan-kawan nasihatkan aku supaya cari kerja lain. Tapi bukan aku tidak pernah cuba. Sebelum ini, aku pernah bekerja dengan syarikat multinasional. Sangka aku, bila bekerja di syarikat yang besar, tanggungjawab setiap pekerja akan diberikan sama rata. Hakikatnya, itu semua tidak pernah berlaku. Desakan kerja, walau dimana sekalipun aku berada, masih tetap sama. Bertukar kerja bukan penyelesaian yang terbaik.

Yang membezakan satu pekerjaan dengan pekerjaan yang lain adalah persekitaran dan rakan sekerja. Kalau itu pun serik juga, maka tak perlulah hendak dipanjangkan cerita. Tutup mata, pekakkan telinga.  Dan teruskan bekerja. Contohnya apa yang berlaku pada aku lima belas minit yang lalu:

Buat kesekian kalinya dalam hidupku, aku mengharapkan Teja bukan nama sebenarku.

“Teja, you faham tak apa yang sebenarnya I nak?” soalnya sambil mengecilkan matanya memandangku.

“Ya, Encik Muaz. Saya faham,” jawabku yakin. Sememangnya aku yakin dengan permintaannya yang mahukan aku membuat analisis untuk menetapkan gaji setiausaha baru CEO di syarikat ini.

“No…no...I don’t think you understand, Teja. I tak rasa you faham!”  telinga Muaz mula merah. Itu menandakan tahap marahnya sudah lebih dari lima puluh peratus. Aku faham benar. Kalau dilawan, akan parah jadinya.

“Encik Muaz suruh saya buat analisis untuk tetapkan gaji Fira. Saya dah buat. Itu...yang saya e-mailkan tu. Itulah hasilnya,” jawabku seikhlas boleh.

Memang jika diturutkan hati, aku mahu menjerit pada Muaz kerana memaksa aku melakukan tanggungjawab yang sepatutnya diberi seminggu yang lepas untuk dilaksanakan dalam hanya lima belas minit. Walaupun aku berjaya melakukannya, tidak bermakna aku gembira melakukannya. Berjaya melakukan sesuatu lebih mendatangkan kepuasan jika kita benar-benar suka dengan apa yang kita lakukan, itu prinsip aku.

Tapi bolehkah Muaz memahami setiap prinsip dan kesusahan aku? Sedangkan sudah dibuat pun, dia masih mengungkit dan merungut. Aku tidak rasa aku boleh balik awal malam ini. Nampak gayanya, lupakan saja hasrat untuk menonton Tom Cruise. Mission Impossible 4: Ghost Protocol bukan di TGV atau GSC tapi di bangunan Menara Communicate yang berhantu ini! Misi mustahil menghabiskan kerja-kerja yang berlambak perlu dilakukan tanpa mengira skala ketakutan aku pada objek mistik. Itu pasti.

“Teja, you have to understand. She is the secretary of Communicate Sdn Bhd’s CEO. Dia bukan orang sembarangan yang you boleh letak gaji hanya RM2,500.  Paling rendah pun I nak you letak RM4,000!” tegas suara Muaz sambil matanya tajam menikam.

Aku cuba untuk tidak mengerutkan dahi. RM4,000? Gilakah Muaz ini? Lupakah dia pada segala prosedur yang dia sendiri tegakkan selama ini? Tidak ingatkah dia tentang apa latar belakang Fira? Dan yang paling penting, apa istimewanya Fira sehingga aku perlu langgar semuanya?

Dalam tenang aku menyatakan ayat seterusnya, “Encik Muaz, saya hanya ikut garis panduan yang telah kita tetapkan. It’s true…Fira bukan calang-calang orang. Saya setuju, Encik Muaz. Tapi dalam masa yang sama kita juga harus ambil kira faktor-faktor lain. Like the weightage of her job, kalau kita bandingkan dengan orang yang sama gred dengan dia. Setakat ini pun Fira dah melanggar job requirement kita. Kalau diikut yang sepatutnya, kita mesti cari seorang yang ada ijazah untuk jawatan tu. With at least 3 years experience in related field. Tapi Fira…”

“So, you kata Fira tak layak?!” tingkah Muaz dengan suara yang lebih tinggi. Kali ini bukan setakat telinga, malah leher dan pipinya turut merah dek marah.

“Tidak…bukan macam tu…” kataku lembut sambil menggelengkan kepala.

Dan seperti yang dijangka, belum sempat untuk aku menerangkan, Muaz dengan segera memotong kata-kataku:

Fira
“Fira lebih layak dari yang tercatat dalam analisis you ni. Apa you tahu, Teja? Apa?! You tahu menilai perkara-perkara yang penting yang hiring manager nak? Cuba you fikir balik apa yang Fira tu ada yang eksekutif-eksekutif lain macam you ni tak ada. That’s why dia boleh dapat gaji lebih tinggi. Cuba you fikirkan…?!”

Aku menarik borang permohonan pekerja. Di hadapanku terpampang sekeping gambar berukuran passport milik Fira binti Adnan – bakal setiausaha baru CEO syarikat tempat aku bekerja. Wajahnya bujur sirih, ulas bibirnya nipis dan comel, hidung terletak dan dipadankan dengan sepasang mata yang galak. Kanta lekap  berwarna violet nampak sesuai dengan kulitnya yang putih mulus.

Dari gambar itu juga aku dapat melihat Fira mengenakan sepasang baju kemeja kain kapas yang agak formal, tetapi tidak cukup untuk menutup hakikat bahawa dia memakai baju dalam berwarna hitam yang agak seksi.

Cukup dengan sekeping gambar berukuruan passport. Aku tidak perlu lihat orangnya.

Mata Muaz masih tajam dan menusuk. Aku tahu dia perlukan sesuatu untuk membelai egonya. Sudah tiga tahun aku bekerja dengan Muaz; jika merah katanya, dia tetap mahukan aku berkata merah walaupun aku tunjukkan hitam dan putih di atas kertas.

“So?” soal Muaz sinis. Bibir nipisnya mula menunjukkan sengih di sebelah kanan, tanda menyindir. Aku masih lagi kaku di situ. Aku faham apa yang cuba Muaz sampaikan. Tapi perlukah aku tunduk hanya kerana ego Muaz dan membuang fakta-fakta yang sedia ada?

“Encik Muaz, saya hormat penilaian Encik Muaz. Tapi, kita masih ada audit. Apa jawapan yang perlu kita beri jika auditors tanya kenapa seorang yang berkelayakan SPM, pengalaman kurang dari setahun di call center untuk diberikan gaji maksima junior eksekutif? Setakat ini saya masih beri yang minima, Encik Muaz. Kalau ikutkan faktor dan guideline yang kita ada, saya dah ikut prosedur?  Jadi…kalau ikut penilaian Encik Muaz tu…saya faham. Boleh berikan saya hitam putih? Sekurang-kurangnya, saya tak perlu kata banyak dalam audit nanti,” lembut suaraku dialunkan ke telinga Muaz. Tapi aku harap dia masih dapat menangkap bisanya.

Sengih Muaz melebar. Dia mengetuk-ngetuk pennya ke meja sambil matanya masih sinis memandang.
“You are jealous, Teja. Do you know that?” dengan bibir menguntum senyum dan suara paling lembut, dia berkata kepadaku sambil menyandarkan badannya dengan selesa di atas kerusi.

“Jealous?” soalku. Aku rasa aku boleh menangkap, tapi…lupakan. Jangan buruk sangka.

“Yes, jealous! You tahu sebab apa?” tanya dia kepadaku. Dan seperti yang aku sangka, dia meneruskan dengan, “Sebab Fira tu cantik. Ayu. Manis. Lembut. Tak perlu ke universiti untuk dapatkan apa yang you mati-mati nak dapatkan selama ni…”

Bibirnya masih tersenyum. Keningku terasa sakit di saat dia lepaskan semua itu. Sebolehnya aku tidak mahu mengerutkan anugerah Allah yang lebat di atas mataku ini. Ibu selalu kata, kening aku ni terlalu tebal, jika tidak dikerutkan pun sudah menampakkan wajah aku yang garang. Tidak, aku tidak akan buat muka itu di depan Muaz. Lebih panjang ceritanya nanti! Jadi aku paksa bibir ini untuk tersenyum walaupun kerongkong terasa seperti baru menelan sebiji apam tanpa dikunyah dulu.

Muaz meneruskan “syarahannya”,

“Teja…Teja…nama you ni memang sedap. But you have to look into this from a superior’s point of view. Tak guna nama sedap tapi tak sedap mata memandang, Teja. Nak buat increment, nak bagi bonus pun orang boleh lupa.  Adibah Noor suara sedap tapi orang tak ingat lagunya. Tapi…kalau Rozita Che Wan, tak ada filem baru pun orang ingat cuttingnya. You faham?”


40 comments:

Encik H said...

yehh..sempat first..hip hip hooray!!

Encik H said...

bongok la Muaz ni..haishhh..sakit hati baca ayat2 dia..

Len Inouie said...

Menarik nafas panjang baca entry ni... should keep giving your very calm and sweet smile. Look directly to Muaz...say AUDIT. Hahaha..

Geram dgn Muaz.

boni kacak said...

nama awak teja zakiah ye?? unik sangat.. dan kisah ni memang betul2 ke?? hmm.. ni lah namanya bila ikutkan nafsu, pendirian dan garis panduan yang ditetapkan selama ni ditolak ke tepi. saya boleh katakan yang muaz tu memang tak berpendirian. rasanya macam tak layak jadi seorang bos.. sorry to say.... dan, saya amat2 marah dia cakap awk macam tu... menilai awak sedemikian rupa.. adakah dia seorang yang sempurna?? walaupun dia bos, tapi itu tidak menjadikan dia seorang manusia sempurna yang boleh kritik orang lain macam tu je.

Si Matatajam said...

Nama yang baik mempengaruhi keperibadian anak2 tu nanti..jangan la memalukan anak tu bila namanya dipanggil ketika di pdg masyar maksudnya yg tak elok..sian dia..

Sharian Zamrinor said...

Buekkkkkkkk...buekkkkkkkkkkkkkk...buekkkkkkkkkkkkkk

Siti Marhamah said...

Allah.klu si fira 2 sbnrny sbnrny fqrha cmno?jln gak?hmm..Muaz2...

Siti Marhamah said...

Allah.klu si fira 2 sbnrny sbnrny fqrha cmno?jln gak?hmm..Muaz2...

4feet8 said...

geramnya boss mcmtu. hakikatnya sha, memang byk lelaki mcmtu.. menilai buku dari kulitnya. betul awk ckp,yg penting, dptkan hitam putih dari dia(muaz) supaya esok2 tak jerat diri kita balik.. take care sha.

Rasp said...

inilah dia org pangkat tinggi tapi mentaliti rendah....
even pada zaman skarang pun masih ada spesis ni....
susah ler nak maju kalo masih berfikiran gini....

Nizam.Ariff said...

tulisan BI dan BM awak memang bagus, dan aku lebih suka baca edisi BM sebab senang aku nak faham... hahaha.


tentang cerita si Fira tu, dia orang dah pakat nak kerkah gilir2 ke?

~ Cik Azz ~ said...

Sedap jugak nama Teja tu...

Encik H said...

nama Teja Zakiah tu ada org tersilap panggil tak? kot2 terpanggil Tiz Zaqyah..hehehe

Kesuma Angsana said...

wat a nice name u have teja!.. 1st pic tu remind me of my bongsu daughter yang duk ari2 nak tgk movie susuk even dalam kereta pown! hehehe

Diana AR said...

oohh pls la muaz..
sgt tak profesional

fiza said...

Sedap nama. Dah bley buat novel ni sha ☺☺

wantie said...

aduhai... si fira tu guna body seksi terus muaz fengsan..

Tapi tu la kan, kekadang orang yang tak cantik jauh lebih lkayak buat kerja berbanding yang cantik di mana hanya nak tayang itu ini utk dapatkan gaji lebih..

si hidung belang pulak apa lagi. bayar gaji mahal utk kerja dan gaji yg selebihnya dia bayar untuk dia cuci mata..

office lama akak dulu pun sama. kalau cantik seksi memang semuanya kena je di mata bos. senang nak pancing customer. cait!!..

walaupun gaji akak kecik tapi akak puas sebab akak tak gunakan body tuk menagih increment!

Lina md. munir said...

Panggillah dengan nama yang baik-baik dan yang bermaksud baik. Kerana sesungguhnya di akhirat nanti kita akan dipanggil dengan nama yang sama seperti hayat kita dahulu.

LydSunshine said...

Jadi, teja zakiah tu bukan nama sebenarnya sha la kan? Tetiba saya rasa nama teja tu menarik. Zakiah tu nama mak sha kan? heheh. Cikgu zakiah. Pun bukan nama sebenar ke?

Erm.. org mcm muaz tu mmg ada banyak dalam agensi. Rupa itu mcm segala2nya untuk tatapn mata dia. Tipikal lah lelaki mcm tu. Seronok la Fira. Ada SPM je tapi ada org beriya-iya nak beri gaji 4000.

Bitt (doubeIS) said...

peerghhhhh ini yg i cari2....i suka kawan berprinsip macam u! nak resume boleh.. :)

hainom OKje said...

Senang je jadi boskan Sha.... arah dan kena ikut apa yg dia nak.... auditors belakang kira......

dan ada kalanya bernasib baik jadi gadis cantik ni .... nasib selalu berada dipihaknya....

tapi tak pe... Dia tu maha adil!

Jna marcello said...

sedapp name tu tp na da hampir percaya name tu name kak sha :D

AKHIRNYA!!!!!!!!!!!!!!!!!
lega bace xyh carik makne dlm kamus hehehe

sblum na cmnt entry ni na nk bgtw kak sha mmg superb english kak sha tiptop malay lagi superb!!!
kak sha selamat laa kita jauh..klau na jiran kak sha mesti na da suruh kak sha jd cikgu tuisyen b.i b.m kak sha..kak sha xnk pun kena jugak mmg 1paksaan hihihi

kak muaz tu last kena pukul bila?? haha tbe2 jd gengster lakss..xdce laa kaksha dye x patut buat teja mcmtu..!!!ape dye egt teja xde perasaan ke..tp kan kak sha cita kak sha mmg kena dgn sorang staff yg baru masuk kat off na ni..xsampai 3bulan da naik admint dpt office hour lagi..padahal bodoh nak mampos (xbaik ckp org bodo) tapi mmg itu hakikat nye less than 48 hour pun tatw..tbe2 nak naik pangkat sbb gunakan kecantikkan dye n body dye.. ANNOYING~!

Acik Erna said...

kisah benar ke sya..ada ke orang macam tu sekarang ni.

AHMAD AFIQ said...

sedap nyer nama. plus unik. nama lama pon ada. pandai tol karang panjang2. kesabaran jugak membaca

Cik Nurul Siezuka said...

cantik dan unik tau nama Teja tu... :)

Tihara said...



sedap jugak...dan memang unik pun :)

Dinas Aldi said...

Ramai lelaki camtu. Nampak yg lawo & seksi ja. Yg huduh2 tak mau. Tapi alhamdulillah bukan semua lelaki adalah mangkuk macam Muaz. Dunia ni masih indah untuk orang tak lawo macam akak :D

Kengkawan said...

sedang berteka teki samada ini kisah benar atau tidak.
jika benar, ceaka kehidupan wanita yang menjual diri dan celaka jugalah lelaki yang sanggup membeli. semoga mereka tahu dan ingat syurga dan neraka itu serta janji janji Allah benar belaka.

sekian,

yang ikhlas
ustajah
(bukan nama sebenar)

cHeRyNa PiReS said...

Haha...comellah H ;-)

cHeRyNa PiReS said...

Hoit. Bkn.

si robot comel said...

nama yang unik,kita suka :)

Muaz tu dh kenapa? Geram pula kita ni.

Khalilah MNor said...

Bestnya nama!:) Semua bahasa pun sha boleh sampaikan cerita dgn berkesan. Org mcm muaz ni mmg wujud rupanye. Sakit kepala dgn perangai muaz walaupun sekdar dr bacaan. Kalau sy halimunan nak je sy sekeh2 kepala muaz tu, hah, biar dia fikir elok2 sikit sblum ckp! ;)

Remy hazza said...

betul ke cerita nie zakiah !!! so sad kan..... bukan disana jer... di tempat remy pun sama..... selalu ada diskriminasi.....
padahal ada yg tak layak...tapi disebabkan outstanding sikit , kuat bodek sikit..... semua lepas.... jadi perhatian....
lumrah manusia memang camtu......

tapi yg penting , kita ikhlas bekerja sya......

ckLah @xiiinam said...

Teringat kawan sekolah dulu yang selalu malu dengan namanya...Yatim Asmara.

(masa sekolah dulu, sukan ckLah rumah Tun Teja...:-)

Citarasa Rinduan said...

firstly kak baru nama sbnarmu.. ( eh, ni mmg cerita betulkan?).

second.. kak tabik toing2 awak punya penulisan mmg super duper.. cuma y bm nie kak lebih memahami dan menghayati dr bi y bt kak kn tanya org skeliling. huhuh

lastly.. kalaulah ini kisah benar. kak mcm nak sepsk jer anu si en.muaz tu.. wacahhhh

Dee said...

ckp ngan en muaz tu..amik jelah fira tu jadi bini dia lagi senang..bulan2 byrlah gaji dia 4000..hihihi...

Aien Alien said...

Teja Zakiah...sedap namanya. macam H cakap ada yg terpanggil Tiz Zaqyah x? haha. ok fine..tak lawak.



grrr...geram gila dengan Muaz tu, perbandingan melampau. ok kalau kecantikkan dipertaruhkan melangkaui garis panduan memang tak adil la..

Rai Ourkizuna said...

ala kak sha..kenapa macam tak habis.. mana conclusionnya?

hish..muaz tu dasar jantan murahan kan..nampak puan cantik sikit da macam tu..kesian la bini dia...

saya pun heran kak..ada orang bagi nama anak bukan main cantik maksudnya..tapi bila panggil jadi pendek je..sulaiman..jadi man.. mana nak ada maksud..

kiera'sakura said...

Astghafirullahalazim.. menyirap darah dengan muaz tue.. kak biar je dia kak. janji akak dah ikut prosedur. biar la dia nak kata apa kat akak pun kak. yg penting yg menilai akak kat sana nanti bukan dia. sbb keja pun amanah yg kita pikul kan.

hishhh rasa mcm nak tembah je muaz. mlut kurang hajar sgt klu mcm tue la sikap dia boleh tau mcm mana dia berkerja. hishhh

cantik bukan boleh beli segalanya la.. eeeeeeeeee geramnya muaz tue

Aya Yus said...

ada lagi orang cam muaz tu hidup kt zaman skrg ni yer...

hai sha, salam kenal. :)

ksu.