Tuesday, December 11, 2012

entry bahasa melayu saya #3

Nora Danish

“Jangan lupa balik awal esok. Tentang Dhia dah nak masuk episod akhir!” suara ibu kedengaran sangat ceria di hujung talian.

Aku ketawa kecil. Secara jujurnya, sejak ia mula ditayangkan aku tidak pernah sekalipun berada di hadapan kaca televisyen. Mana tidaknya, pukul 7:00 malam adalah waktu terbaik untuk aku fokus kepada kerja. 

Iyalah, waktu itu Muaz dan boss-boss semua dah balik, jadi dapatlah aku membuntangkan mata menghadap nombor-nombor dalam Mircosoft Excel.  Tidaklah kena kacau.

Selepas meyakinkan ibu bahawa aku akan pulang ke rumah sebelum drama itu bermula, aku terus meletakkan telefon. Tugas di hadapan aku amati perlahan-lahan.

Gadis itu comel orangnya. Raut wajahnya mirip Nora Danish. Sepit rambut plastik yang dikenakannya berwarna shocking pink, senada dengan gaun yang dipakainya.  Kasut, tas tangan dan gincunya juga dalam nada warna yang sama. Aku tersenyum kecil. Cukup pandai dia menggayakan warna. Kalau dia ditugaskan menjadi guru di sekolah, mesti dia boleh jadi popular macam Cikgu Habsah di sekolah aku dulu. Selalunya cikgu-cikgu popular ni pandai bergaya. Kasut mesti matching dengan handbag, baju mesti matching dengan tudung. Itu pasal Cikgu Habsah dulu boleh menang Anugerah Guru Paling Popular, hasil undian semua pelajar di sekolah. Sapu bersih!

Agak-agaknya, kalau aku ambil dia kerja di Communicate Berhad, boleh ke dia menang anugerah?

Pen Hello Kitty berwarna pink di tangannya dimainkan perlahan-lahan. Dia masih tersenyum malu. Aku menantikan jawapannya sejak sebelum menjawab panggilan ibu tadi. Sudah masuk lima ke sepuluh minit, dia masih belum menjawab.

“Ana, I’m waiting for your answer,” sapaku sambil tersenyum.

Dia mengangkat wajah sambil tersengih. Haaii…memang comel. Nasib baik aku yang menemuduga hari ini. Kalau dapat Muaz, sah-sah terus lulus.

“Mmmm...Puan, boleh Ana cakap Bahasa Melayu tak? Ana ni orang kampung. Mak Ana cakap, kalau kita tak tahu, kita kena mengaku, “dia menjawab dengan muka yang tulus.

“Okay...okay...boleh cakap Melayu, “ aku menjawab serius. Sebetulnya markah penguasaan bahasa Ana sudah ditolak dari tadi. Sebagai sebuah syarikat berbilang kaum, semua pekerja digalakkan untuk menguasai kedua-dua bahasa – Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi memudahkan komunikasi dengan semua pihak. Namanya pun bekerja dengan syarikat telekomunikasi.

“Puan tanya tadi, bagaimana Ana mengatasi stress? Macam ni, Puan: Kalau Ana stress, Ana selalunya akan cari satu kawasan yang lapang, macam air terjun ke, kemudian Ana akan jerit kuat-kuat. Bila semua yang terbuku di hati dah diluahkan, Ana sambung balik kerja,” ujarnya dengan ton suara yang paling ceria dan wajah yang paling manis.

“Tapi kan, kita bekerja dalam suasana di pejabat. Mana nak cari kawasan luas untuk menjerit?” aku bertanya.

“Eeerrrr…Puan, kalau kita tak boleh menjerit kuat-kuat, kita menjeritlah dalam hati. Dalam toilet ke?” Ana menjawab dengan pipi yang memerah. Atau itu mungkin blusher merah jambunya, aku kurang pasti.

“Awak nak menjerit dalam toilet?”

“Yelah. Sekejap saja. Siapa yang tahu?”

“Dah pergi toilet dekat office ni? Rasa-rasanya boleh menjerit ke?” Aku menduga Ana. Kali ini, dia perlu memberikan aku jawapan yang munasabah.

“Errr…belum lagi, Puan,” jawab Ana tersipu-sipu.  Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil membetulkan sepit rambut merah jambunya. Secara tidak sengaja, aku ternampak hiasan di atas klip rambut Ana - seekor kucing berwarna putih tersenyum dengan comel. Eh, sepit rambut pun ada Hello Kitty?

“Ana, apa perkara yang paling anda suka dalam dunia ni?” Aku cuba bertanya dengan ramah. Kali ini aku harap Ana dapat memberikan jawapan yang agak matang. Sebabnya, jika dia terus-terusan memberikan jawapan sebegini, maka tamatlah sessi temuduga aku pagi ini. Cukuplah. Banyak lagi kerja lain.

“Macam mana tu, Puan?” dia bertanya balik kepada aku.

“Ana ceritalah, apa yang Ana paling suka. Warna kegemaran Ana, hobi Ana, cita-cita…apa-apa aje.”

“Oooo…macam tu. Ok, macam ni. Anak paling suka warna pink sebab warna pink melambangkan kewanitaan dan cinta yang baru berputik. Lepas tu, Ana suka Hello Kitty sebab ia sentiasa membuat Ana riang. Cita-cita Ana pula ialah untuk menjadikan dunia satu tempat yang gembira,” ujarnya sambil tersenyum girang.

Entah kenapa aku seperti menantikan dia berkata, “Kita enjoy!” di hujung kata-katanya tadi. Aku rasa, selain dari bakal menjadi Pekerja Paling Popular di pejabat, Ana juga ada bakat untuk jadi pelakon tiru gaya atau dalam bahasa orang putihnya, impersonator.  Gaya Ana menerangkan tentang dirinya tadi sebiji macam pelakon Nora Danish. Boleh buat persembahan untuk annual dinner nanti, hati kecilku semakin nakal mengusik.

That’s interesting, Ana. Lagi satu saya nak tanya, siapa pelakon kegemaran Ana?” aku cuba menyembunyikan rasa ingin tahuku dengan membuat muka selamba.

“Siapa? Tentulah Nora Danish!“ Girang benar nampaknya dia.

“So, mesti minat Ana Lu’lu? Puteri?” aku meneka.

“Mestilah, Puan. Sebenarnya itulah watak-watak kegemaran Ana. Sentiasa ceria dan berfikiran positif,” jawabnya bersungguh-sungguh.

“Kalau macam tu, mesti awak minat Tentang Dhia juga?” aku meneka lagi walaupun sudah tahu jawapannya.

“Eh, mestilah Puan! Ana sedih sangat bila Zikir curiga dengan Dhia. Ada ke patut? Kalau macam tu baik Dhia kahwin dengan Azmi je!” Panjang betul jawapan Ana. Kalau tadi bila aku bertanya tentang kerja dia hanya menjawab sepatah-sepatah, kini bila aku ‘buka’ sedikit pasal Nora Danish, jawapannya terus berpatah-patah!

“So, malam esok Ana depan tv lah ye?” Aku harap Ana faham yang dia masih lagi dalam temuduga.

“Mestilah, Puan. Puan macam mana, minat Dhia ke?” Yang ditemuduga bertanya yang menemuduga.

“Taklah. Saya peminat Melly, isteri Azmi. Yang jadi Cikgu Zakiah dalam cerita Juvana tu. Kan nama saya pun Zakiah?”

*****

Selepas menemuduga kembar lain emak dan lain bapa kepada Nora Danish, aku nampaknya harus menemuduga enam orang calon lagi. Macam-macam ragam dapat aku lihat. Ada calon yang datang dengan memakai selipar Jepun, ada tak tahu apa itu transkrip, dan ada pula yang menjawab semua soalan dengan “Entah”. 

Sudahlah begitu, terlalu ramai pula yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul ataupun tidak cuba langsung untuk berbahasa Inggeris. Malah, seorang calon dengan selamba dan beraninya bertanya kepada aku sama ada aku sudah berkahwin ataupun belum.

Temuduga zaman dahulu tidak sama dengan zaman sekarang. Tidak seperti dulu, penemuduga lebih tercabar dari mencabar. Jika zaman dahulu penemuduga selalunya berperawakan garang, tegas dan lebih autokratik, penemuduga zaman sekarang lebih berfikiran terbuka dan peramah. Maklumlah, sungguhpun bilangan graduan menganggur agak tinggi di negara ini, tapi anak-anak sekarang lebih demand dan kurang segan silu untuk berkata-kata sungguhpun ketika mereka sedang ditemuduga.

Aku selalu berkongsi dengan rakan-rakanku tentang perasaan aku ketika menemuduga. Tidak seperti dalam novel atau filem, sebenarnya orang yang menemuduga lebih gementar perasaannya. Apa tidaknya, dalam masa setengah hari atau sehari, masa boleh dibazirkan begitu sahaja. Adakalanya temuduga lebih mengusutkan fikiran. Macam apa yang berlaku pada aku sekarang ini. Seharian menemuduga, tapi tiada satu pun calon yang sesuai.

Ketika aku sedang sibuk mencongak markah yang perlu ditulis di dalam borang temuduga, pelayan tetamu datang menjengah.

“Dah habis ke Kak?” dia bertanya.

Interview semua dah lepas. Akak tengah kira markah ni, Shima. Ada orang nak pakai bilik ke?”  aku bertanya sambil mengerling ke arah jam tanganku. Baru pukul 12 tengah hari. Selalunya orang akan sibuk menempah bilik untuk mesyuarat selepas makan tengah hari.

“Tak, kak. Ni…Shima nak bagi tahu. Ada seorang lelaki kat luar tu nak jumpa akak. Tapi, tadi akak tengah interview budak-budak tu, jadi Shima cakap, akak tak mahu diganggu,” wajah Shima kelihatan serius. Dalam masa yang sama, nampak agak serba salah.

“Lama ke dia tunggu?” Aku bertanya.

“Lama. Sejak budak Nora Danish tadi tu sampailah calon yang ketujuh,” jawab Shima sambil tersenyum simpul. Seolah-olah ada rahsia di sebalik senyumannya.

“Laaaaa…kau pun perasan ke, Shima? Akak ingatkan akak seorang je yang perasan muka dia macam Nora Danish!” Aku tergelak. Shima tergelak sama.

“Akak ni…mana boleh Shima tak perasan! Budak tu bawa handbag Hello Kitty datang interview. Shima bayangkan dia nak bekerja dengan akak. Tukar bilik jadi warna merah jambulah bilik akak lepas ni!” Shima ketawa terkekek-kekek. Aku hanya tersengih tapi mata masih memandang borang temuduga.

“Tapi budak tu lain dari yang lain tau. Shima tahu tak cerita yang Reese Witherspoon berlakon tu? Legally Blonde? Budak tu macam dalam Legally Blonde lah. Semuanya warna pink.  Tapi apa yang kita tak perasan, orang macam ni sebenarnya unik dan daring.”  Aku cuba untuk tidak mensensasikan cerita Ana kepada Shima. Biarlah temuduga tadi kekal menjadi sulit.

“Akak ni…mana Shima tengok cerita orang putih. Lainlah kalau akak suruh Shima tengok Ombak Rindu, mestilah Shima tahu,” jawab Shima jujur.

“Eleh, kau tu tengok Ombak Rindu pun sebab Aaron Aziz kan? Pigi dah…” aku mengusik. Shima tersenyum nakal sambil menjeling.

“Tu, dekat luar tu…akak punya Farid Kamil tengah tunggu. Lama sangat dia tunggu tau, kak. Sabar pulak tu. Jeles Shima. Kalau Aaron tunggu Shima macam si Farid Kamil tu tunggu akak, alangkah bestnya. Akak nak Shima panggil dia masuk dalam ni ke?” soal Shima sebelum aku mengusik dia dengan lebih rancak.

Aku mengangguk sambil tanganku lincah mengira markah.  Tidak lama kemudian kedengaran pintu diketuk.

“Masuk,” aku melantangkan sedikit suara untuk didengar sampai keluar. Tujuh belas per tiga puluh untuk Ana Nora Danish. Hmmm…tak lepas. Tapi lebih baik dari calon-calon yang lain. Aku menghela nafas sambil mataku terus menuju ke pintu.

Susuk tubuh itu sangat ku kenali. Cara berjalan itu juga tidak asing untukku. Aku memandang ke arah tangan yang memegang tombol pintu sebelum mencari wajah empunya diri. Terlalu familiar rasanya.
Sehinggalah empunya diri bergerak ke arahku dan haruman wangian dan tubuhnya menusuk hidungku, aku sudah tahu siapa dia.

 “Hello my ex. How are you?”

*****

Senyumannya masih sama seperti dua tahun yang lepas. Tapi itu memang assetnya sejak dulu. Semua orang tahu dia suka tersenyum dan aku tidak. Kata orang, opposite attraction itu salah satu sebab orang jatuh cinta. Yeke? Entahlah.  Melihatkan dia di depan mata aku sekarang ini, aku sudah tidak pasti lagi dari mana cerita kami bermula.

Yang pasti, di saat ini dia sedang tersenyum. Dan aku tidak. Apa lagi yang boleh diharapkan selepas dua tahun? Kan tadi dia panggil aku ex dia?

“Farid.”

“Teja Zakiah,” lesung pipit menghiasi pipi kirinya. Bibir nipisnya serasi dengan sepasang mata kecil yang nakal itu. Tak sangka, selepas dua tahun, aku dapat lagi melihat ciptaan Tuhan yang pernah aku puja satu masa dulu.

Dulu. Aku ingatkan diriku serta-merta. Mesti ada sebab dia datang ke sini. Takkan suka-suka?

“Apa you buat kat sini?” Aku bertanya straight-to-the-point. Senang.

“Jumpa you.” Jawapannya straight-to-the-point juga.

“Tipu.”

“Tak tipu.”

“Tipu!” Suaraku agak tinggi.

“Ssshhh…kenapa nak jerit ni? Ja, I’m sorry kalau I mengganggu kerja you. But yes, I datang cari you,” Farid memandang tepat ke arah anak mataku. Aku tunduk. Benci menghadap pandangan itu. Lidahku terus kelu.

Aku tahu, setiap kali kami berbicara tentang sesuatu, aku mesti kalah. Hari ini, aku kalah lagi. Walaupun baru satu soalan aku tanyakan padanya, aku telah merasa tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Kalau boleh aku hanya mahu dia pergi dari sini. Pergi, dan jangan kembali lagi.

“You janji dengan diri you, you tak nak tengok muka I. Ni apa?” Aku bertanya juga. Tapi nadaku tidak seperti tadi. Ku rendahkan sedikit dek memikirkan bilik mesyuarat yang terletak di sebelah bilik ini.

“I datang cari you, Ja. Itu je. Dan kalau boleh lepas ni, I nak minta masa you untuk kita bincang tentang kita,” katanya.

“Kita? Kan dah tak ada?” Intonasi mencabarku memanah telinganya. Aku memang sengaja mahu dia sakit hati dan pergi.

Tetapi tidak. Dia hanya tersenyum memandangku dan berkata, “Dah tak ada tapi masih ada urusan lagi, kan Ja?”

“Urusan apa lagi? I dah pulang semua dekat you. You dah ambil semua!” Suaraku naik semula.

Farid hanya terdiam dan perlahan-lahan datang menghampiriku. Semakin hampir dia kepadaku, semakin aku melangkah ke belakang. Sehinggalah suhu sejuk dinding melanggar belakangku, baru aku berhenti. Dengan perlahan juga Farid mengangkat jari telunjuknya dan membawa jari itu ke bibirku.

“Ssshhhh…nanti orang dengar.  Baik you ataupun I tak mahu siapa pun tahu.So, keep your tone down, darling. Tthis conversation is just for the two of us. Nobody is supposed to hear,” bisiknya perlahan. Aku dapat merasa hembusan nafasnya di pipiku. Bau Dunhill Desire semakin merebak masuk ke dalam rongga hidungku.

“Farid…jangan dekat-dekat macam ni. Please…ini office I. Nanti orang lain nampak,” aku melembutkan suaraku. Aku sedar tubuh Farid hanya beberapa jengkal dari tubuhku.  Dan jari telunjuknya masih berada di bibirku.

“Pukul berapa you free malam ni?” Farid tidak mempedulikan rayuanku tadi.

“I kerja…”

“I jemput you dekat office pukul 9 malam ni,” katanya sebelum sempat aku menghabiskan ayat.

“Farid…there’s nothing to discuss anymore…”

“There is,” dalam ketenangannya ada ketegasan.

“Apa lagi, Farid? Dahlah…cukup…” Aku menolak tubuhnya yang makin rapat ke tubuhku.

Dan serentak dengan itu juga aku terdengar suara berdehem berdekatan dengan pintu.

Muaz!

“Ehem…Teja? Kata interview candidate untuk jawatan assistant you. Yang ini ke?” seperti biasa Muaz mengeluarkan nada sinisnya. Aku terkaku di situ.

Tapi Farid tidak. Dia terus pergi menghulurkan tangannya kepada Muaz.

“Farid.” Pendek sahaja cara dia memperkenalkan diri.

“Muaz. Teja’s boss,” jawab Muaz serius sambil menyambut tangan Farid. Sebelum menutup pintu, Muaz sempat memandang tajam ke arahku. Telinganya merah. Habislah aku nanti.

Tapi sebelum machine gun Muaz tiba, aku perlu berdepan dengan Farid yang kelihatan tenang dengan segala situasi di dalam bilik ini.

Please. I nak jumpa you malam ni. We’ll talk about Orkid,” katanya sebelum berlalu.

Aku terasa seperti ada bom yang menghempap kepalaku di saat itu. Besar. Seperti bom di Hiroshima. 

Qairyn!!!

24 comments:

4feet8 said...

"Kita Njoy",
ala comelnya Ana..haha.. hadoi..

Rapunzeel Cikilolo said...

dari situasi yang ceria bertukar macam tu.

then, farid datang tak? malamnye?

Dee said...

hahaha..rasa mcm baca novel je..

Nizam.Ariff said...

macam ada sesuatu yang parah...
aku rasa teruja + thrill + seram membacanya... please habiskan, aku nak tahu kesudahannya (Farid dan Orkid, bukannya Ana si Nora Danish itu)

LydSunshine said...

Sha keja kat Maxis Plaza Sentral ke? Hewhew. Wild guess.

Mmg ada ek org macam Ana Lulu secara realiti? Terlampau terpengaruh dgn TV budak Ana tu.

Jadi, farid nak ajak awk keluar, berjaya ke tidok? Dan muaz kacau daun. Tak pasal nak merah muka.

baby comel said...

Alamak... Farid kamil ke kak Sha?? Alahaiiii sabar je la. Rasa cm baca novel plk dh :)

nUR_rOsALiNdA said...

Alaaaaaaaaaaaa..
Sila sambung plsssssss
Hehehehe~

Rasp said...

ada udang di sebalik mee nie...
jeng jeng jeng....

wantie said...

Aduhai.. kalau akak le tetiba ex datang.. mesti tak tau nak ckp apa. mungkin sebab berpisah tak gaduh kot. so kasih tu ada cuma sayang je dah semakin hilang...

mmm... nak komen bab jerit tu. kalau akak le bila tension akak berzikir je. tak pernah praktik pun menjerit time tension. Rasanya menjerit tu tak banyak membantu pun.

bimbang jugak kalau asyik menjerit time tension, habis anak anak akak jeritkan.

missSenget said...

kak, mintak tips temuduga..!


comel gila gi intvw pakai hello kitty..!
dah laa mmg comel..hihi...


bila smbungan cerita ni..?

Remy hazza said...

kenapa dgn orkid??????
who???
sha.....dgn kyusuk remy baca ....
nice sangat..... dh mcm novel......
kena sambung cepat tau........
tertiba muaz dah tak penting dlm kisah nie......he3

zulaikha megat said...

kak zu nak tanya..mana lebih hensem farid ker muaz..hehe

norhidana miswan said...

tak sbr nk tunggu sambungan nya... or adakah ini dr mana2 novel tulisan mu dik? bt akak teruja

kiera'sakura said...

Muaz tue suka kan akak ke? kenapa dia mcm jeles ke kat Farid? dan Farid kenapa tak terangkan kisah sebenar. akak ape jadi nie? huuuuu

Kengkawan said...

x sempat nak baca habis, nxt time akan bc semula.
g bangkok eh kamis ni? hehe

Cik Nurul Siezuka said...

alooo dik best jer baca.. :)

Anonymous said...

Jeng... Jeng... Jeng...
Who's orkid? My wild guess would be teja's (& farid's) daughter... Which unknown to farid before... Hehee... Mesti Q bgtau farid...
Pls cont asap!

Len Inouie said...

Akhirnya ada entry.

I like Orkid... name. I dream to have my girl named orkid.

Well.. I like Farid.. he seems persistent. A lot of power.Control and cool. Suprises. That is what I see him from this entry.

Im waiting for the part #4



Len Inouie said...

Hahahah... melepas Tentang Dhia la jawabnya.

Fiza Rahman said...

Ada sambungan nya tak?

atty's said...

alor..please continue..

Jna marcello said...

kak Sha kalau Na dpt interview dgn kak Sha kan seronok..mcm garang pada memula jeee..pastu bole borak2 mcm tu syokk laaaaaaaaaaaaaaaa "KITA ENJOY~!

Rai Ourkizuna said...

kak..entry bm ni memang cerita betul ke kak? macam dalam drama la.. kita enjoy!!

yang pasti saya rasa saya antara calon paling plain dan paling skema kalau pergi interview..

hainom OKje said...

Sha...apa khabar...lama tak dengar cite?...bizi sesangat ke?...

Hish Sha jadi yang ditemuduga lagi seram tau....menunggu2 soalan apa yg nak ditanya...

lama dah meninggalkan zaman interview ni...hu..hu..