Monday, August 19, 2013

bunga tiga bulan - part 1

:: Friday hydrangeas :: by simple pretty
:: Friday hydrangeas ::, a photo by simple pretty on Flickr.
“Selamatlah pagi.”

Tweet Khairul Nizam Bakeri sering membuatnya tersenyum. Tuan punya tweethandle itu juga sering membuatkan dia kagum bagaimana menulis sesuatu itu kelihatan mudah tapi akhirnya membawa hasil yang menakjubkan. Tak pecahkah otak memerah idea agaknya? Dia selalu tertanya-tanya.

Lambat-lambat dia usap skrin sentuh iPad miliknya. Timeline diteliti perlahan-lahan. Bibirnya umpama si tukang kayu. Ada masanya ukir senyuman. Ada masanya segaris. Ada masanya berbentuk. Lesung pipit hasil dari pengumpulan sel-sel mati di sebelah kiri bibir kelihatan tenggelam timbul mengikut reaksinya.

“Tema majlis perkahwinan kami nanti adalah Twitter!”

Bulu tebal atas mata sebelah kiri mula terangkat. Jari telunjuk menekan lembut paparan twitpic yang disertakan. Sekeping kad jemputan majlis pekahwinan ditayangkan. Burung berwarna biru dan doodle kedua bakal mempelai menjadi hiasan kad perkahwinan. Segala butiran dari nama seisi ahli keluarga, alamat dan nombor telefon terpampang di skrin kaca. Leher menggeleng. Takkan tak fikirkan keselamatan langsung? Tak ada langsung rasa fobia kalau tiba-tiba kenduri diserbu Bangla? Dia ni anak orang kaya mana yang boleh sumbat semua orang jadi tetamu tanpa buat belanjawan? Atau adakah dia pengamal ilmu hitam yang boleh membalas santau?

Hidung menghela nafas. Ketika dia hendak menyedut, deria bau berfungsi. Kecur air liur di bawah lidah bila terbayangkan bunyi biji kopi dikisar. Sedikitpun telinganya tidak bingit. Bagaimana obsesnya dia kepada muzik adik-beradik Gallagher dari Oasis, begitu juga hantunya dia dengan bunyi bising bijian keras dipalu bilah-bilah mesin. Bunyi tersebut umpama terapi, terasa melegakan sambil jari meluncur atas skrin kaca.

“Seorang artis kata beliau bangun tidur lambat disebabkan terkena buatan orang. Mungkin aku pun macam tu.”

Gigi tiga puluh dua batang menghiasi wajah. Dia menyeringai sambil dada berombak menahan ketawa. Buatan orang? Tak ada alasan yang lebih logik ke? Kadang-kadang tequila yang dituang rakan-rakan atau bibir merah lembap milik si mungil boleh saja buat kau bangun lambat kan? Jangan nak bagi alasanlah! 

Tapi mana mungkin hendak diberitahu satu dunia yang engkau termasuk golongan yang ada dua, tiga atau sepuluh identiti? Bagaimana hendak beritahu dunia yang engkau seorang hijabista yang gemar meramas tangan teman lelaki ketika bersiar-siar? Bagaimana hendak beri justifikasi pada kawan-kawan yang engkau adalah perokok tegar tapi bila depan isteri, bibir merah jambu suci seolah tak pernah dicemar nikotin? Bagaimana hendak jawab dengan ibu dan ayah bahawa engkau tak pernah tinggal kewajipan lima waktu tapi bila kawan-kawan riuh hendak melompat dan bernyanyi di stadium bola pada waktu Maghrib, engkau buat tak nampak penyokong lain sujud di belakang curva? 

Hipokrit.

Memang tak elok menyamakan manusia dengan binatang. Tapi golongan ala sesumpah memang ramai dalam dunia. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya media sosial yang mengajak manusia untuk mempunyai tanda nama tertentu untuk nampak hebat sentiasa. Segala aktiviti dirakam dan dihebah. 

Mula-mula dulu Friendster. Kemudian MySpace. Tiba-tiba Blogger dan Wordpress membuka peluang untuk manusia menulis mengenai diri mereka. Bila wujud Facebook, lebih banyak imej yang perlu dijaga. Bila adanya Twitter, macam-macam jenis berita tersebar. Segala jenis kek dan lempeng ditayang dalam Instagram. Walaupun bibir bersalut air liur basi tapi baunya tak pernah melekat di dalam Keek. 

Dia bukan sesiapa pun di media sosial. Facebooknya hanya untuk keluarga dan rakan-rakan. Twitternya hanya ada mat salleh sesat yang follow sekali sekala. Instagram dan Keek tak pernah jadi minatnya. Dia tak pernah kejar pangkat tweetfamous yang nampaknya lebih tinggi dari pangkat pengarah jabatan kerajaan itu. Tak rugi rasanya jika satu dunia tak nampak dia berbaju kelawar dan berbedak sejuk dalam video.

“#JelajahFixiLejen akan menemui anda di Buku Jalan Seremban. Mari melejen!”
“Shawl 3 Layer menyembunyikan dagu berlapis! Siapa berminat sila DM.”
“Semalam makan dekat Full House Cafe rasa macam dalam cerita Korea!”

 Perut berbunyi. Masa untuk sarapan.

“Sha! Espresso double shot!” dia memekik.

“Aye aye! One Hydrangea Espresso!” Sha si barista menjawab sahutannya.

Lima minit kemudian, dia datang menatang dulang yang ada tiga perkara kegemarannya: kopi, buku dan sekuntum hydrangea.

“Mana kau dapat?” dia bertanya sambil bibir menjuih ke arah buku paperback di hadapan mata. Matanya mencerun memandang wajah Sha yang tenang.

“Aku order online.”
“Kau pakai duit kau ke?” Anggukan dilihat.

“Sha...lain kali pakai duit dalam bajet buku kita. Kalau minta, mesti aku bagi,” dia menggeleng. Sha hanya tersenyum. 

Cuba baca dululah, Min. Mana tahu okay pulak. Tak okay boleh bagi aku balik.”

Dia hanya mengangguk sambil menyelak helaian kertas di depan mata. Diari Si Barista. Bunyi menarik. Siapa yang tulis? 

“Seorang penggila kopi yang akan menggigil kepala lututnya jika tidak menjamah kafein. Pencinta kicauan di Twitter.” 
-@firazafarin 

Hydrangea diletak di celah buku. Punggung diangkat. Kaki mula melangkah. 

 “Kau jaga kedai, Sha. Aku nak cari orang!” 
 “Siapa?!”

 Soalan Sha tidak diendahkan.

7 comments:

Rai Ourkizuna said...

assalamualaikum kak,
salam aidilfitri..rindu dgn tulisan akak..penuh makna. walaupun kadang2 saya kurang faham erti disebaliknya..

apa pun.. pendapat saya, kita kena jaga privacy di media sosial.. bahaya.

Sam Banjamin said...

tak tertangkap point... tapi suka membaca sentuhan begini... kagum.. kagum...

~ Cik Azz ~ said...

Cantik kan bunga 3 bulan tu...

ehhh... hehehe...

Selamat hari raya Sha.. Maaf zahir batin.. ;)

boni kacak said...

saya dah lama tak singgah sini.. apa khabar tuan blog?? harap sihat sentiasa..

saya nak ucapkan selamat hari raya aidilfitri.. maaf zahir dan batin ye :)

LydSunshine said...

keek itu sesuatu yang saya belum explore dan sebenarnya tak tau pon. Huhu... Hydrangea...errmmm.. itu namanya bunga tu ye. Arwah mak saya panggil bunga kembang zubaidah. Heheh.. Tah ye ntah tidak nama dia cenggitu.

Su @ Aya said...

As'salam Sha,
Salam aidilfitri... Suka sangat baca tulisan sha. Sangat sangat. :)

sha purplegirl said...

indah tulisan dan buah idea akak, singgah sini dan jemput ke blog sha jugak