Monday, August 26, 2013

bunga tiga bulan - part 2

Chocolate small cake by Anna.Khatskevich
Chocolate small cake, a photo by Anna.Khatskevich on Flickr.
“Fobia paling besar untuk seorang pengusaha kafe ialah ulasan yang teruk pasal kafenya,” kata Nina.

Yasmin terdiam. Jujurnya sejak bertemu Nina pagi tadi, dia tak bercakap banyak. Hendak dikatakan lebih banyak berfikir, mungkin tidak. Satu apa pun tak melekat di dalam kepalanya.

Terbayang di matanya senyuman manis avatar pemilik tweethandle @firazafarin. Dia sudah naik hafal dengan tulisan dalam bio beliau. – “penggila kopi...bla..bla...kepala lutut..kepala bana...bla...” 

Menyampah! 

Hydrangea Cafe bukan sekadar kedai kopi. Seluruh usaha hidupnya dicurahkan bagi memastikan cita-citanya untuk memiliki kafe sendiri tercapai. Pengalaman dari kecil bekerja di warung kampung, kopitiam di pekan,hotel-hotel dan rangkaian kedai-kedai kopi terkenal seperti Starbucks dan Coffee Bean digunakan sebaiknya. Dia masih ingat bagaimana dia pernah mengumpul segala hasil titik peluh demi untuk mendapat ilham seperti Howard Schultz. 

Berpuluh jam dia bekerja semata-mata hendak melihat sendiri Cafe dell Carozze di Chiavari. Dia juga sanggup menjadi Michael Gates Gill yang bekerja sebagai barista bagi memastikan operasi sesebuah kafe difahami sebelum dia meminta pinjaman kewangan dulu.
Bukan mudah juga mencari rakan kongsi. Ketika dunia bergolak tentang krisis Enron dan terpaksa bersaing dengan auditor lain untuk mencari kerja, dia ditemukan dengan peguam comel bernama Adina yang mesra dipanggil Nina.

Nina menguruskan banyak kes hartanah dan kebetulan seorang penggemar kopi dan buku seperti dirinya. Gadis bermata sepet itu seperti tahu apa yang dia cita-citakan dan tidak lokek berkongsi ilmu dan modal. Syarat Nina hanya satu: uruskan operasi kerana dia masih perlu jadi seorang peguam. Takkan hendak biarkan saja kepala dipijak dengan ulasan tak masuk akal?

“Aku rasa masa Maria Tunku Sabri buat Jalan-Jalan Cari Makan, tak pernah pula dia kata ‘tak sedap ni tuan-tuan dan puan-puan. Tak payahlah datang atau makan.’ "

“Itulah pasal!” Yasmin merengus kasar. 

“Waima blogger paling hipokrit pun tak guna perkataan yang dia guna ni. Paling teruk pun mungkin diorang akan kata ‘ini lawatan terakhir’”, sambung Nina lagi.

“Nina...kalau tak, aku tak datang cari engkau!” getus Yasmin bila semakin tidak keruan untuk mendengar. 

“Engkau takut benda ni akan merebak. Nanti orang tak datang Hydrangea Cafe lagi. Itu fobia terbesar engkau kan?” soal Nina dengan senyum segaris. Yasmin mengangguk lemah. Kepala yang mula berdenyut dipicit-picit. 

“Bodohlah kau ni, Min,” Nina tergelak. Yasmin melopong. Kening kiri diangkat tanda tak puas hati.

“Engkau ingat macam mana aku boleh sampai ke Artisan Roast ni? Bukannya dekat dengan Ampang,” tanya Nina.

“Manalah aku tahu.”
“Facebook. Instagram. Twitter. Semua itulah,” jawab Nina dengan riang.
“Cliche. Main stream. Poyo,” tingkah Yasmin. 
Yang cliche, main stream dan poyo tu yang orang kejar, Min,” sengih Nina semakin menyakitkan hati. Aku menggeleng. 
“Gila glamer semua tu, Nina.”

“Hey! Memanglah. Bisnes kena glamer baru orang datang, Min. Tak ada siapa yang akan datang Hydrangea Cafe ni kalau promosi tak ada. Setakat letak dekat board tulis pakai kapur depan kedai tu bukan promosi namanya. Dah lupa dulu belajar Principles of Marketing? ” jawab Nina sambil tergelak. 

Matanya mencerun memandang peguam comel yang sentiasa positif. Kalaulah dia boleh pinjam kekuatan Nina untuk menghilangkan fobia di hatinya. Kalaulah gelak tawa Nina boleh membuatkan kegusarannya terpadam. Kalaulah sinar mata Nina boleh memberikan dia kekuatan bahawa masih ada lagi manusia yang akan datang ke Hydrangea Cafe walaupun selepas membaca ulasan si tweetfamous bernama Fira Zafarin. Alangkah bagusnya. 

“Kalau kau tak kisah Min, aku ada sesuatu nak cakap.” 

“Apa dia?” tanya Yasmin acuh tak acuh. “Kau bukan fobia orang tak datang Hydrangea Cafe lepas baca review teruk. Pada aku, kau fobia dengan Fira Zafarin,” bahasa mata Nina seolah memaksa. Yasmin membisu.

“Cuba kau cerita sikit, Min. Apa yang si Fififafafufu ni dah buat dekat engkau?”

4 comments:

Sam Banjamin said...

hmm.. berlatar belakangkan cafe.. tak ubah macam dunia saya... kerja dlm bidang hospitality... kenapa kawan tu fobia dengan fififafafauafaua tu... hmmm.. tak sabar tunggu kesinambungan kisah...

Kesuma Angsana said...

singgah jgk hari ini ! lama x ke sini

Mikael Sahaja said...

Menarik!

azurachan said...

cepat update ye. hehr