Monday, June 24, 2013

babi - azwar - lejen

Tajuk: 
Bercinta di Balik  Api (BABI)

Penulis: 
Azwar Kamaruzzaman

Penerbit: Lejen Press
298 muka surat

Sinopsis:

Ya! Sekali melihat semua mengatakan aku seperti lelaki. Sebenarnya naluri aku masih perempuan. Berkawan dengan Leman sejak kecil, membuatkan aku jatuh cinta kepadanya. Dia mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Biarpun, perjalanan kehidupannya penuh dengan duri. Aku sayang dia biarpun dia disamakan dengan BABI. Tapi... - Azmi

Cinta itu hanya di birai katil. Setelah habis aksi diranjang, maka habislah cinta itu. Aku bangga bila wanita seperti aku sering dinobatkan Lady of the Month oleh pihak kelab malam. Dosa? Kalau takut dosa kenapa ada manusia berpangkat ustaz, berjimba-jimba di kelab malam. Malah seronok dalam dakapan manusia-manusia seperti aku. - Pauziah

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.

Parah juga nak menanti kehadiran BABI di pasaran. Aku pergi ke PBAKL pada hari pertama kiranya aku dah berbelanja banyak. Kira berhabis jugaklah. Agak kecewa juga bila diberitahu yang BABI hanya akan dilancarkan pada minggu berikutnya. Adoi. Kenapa tak boleh beli waktu tak ramai orang?

Walaupun PWTC kira dekat dengan tempat kerja, tapi aku cukup malas nak ke PWTC. Bukan sahaja malas nak menukar LRT di Masjid Jamek yang maha sesak, aku juga malas nak fikirkan untuk berpusu-pusu sama dengan manusia-manusia lain di booth Lejen Press atau Fixi. Menginjak ke usia 30-an ni aku harus beri laluan pada budak-budak sekolah nak beli buku indie.

Tapi nak buat macam mana kalau aku sudah berhati muda? 
Membaca bukan kira peringkat umur. Kalau tak dah lama Al-Quran itu dikhaskan untuk orang tua yang dah nak mati. Iqra' - untuk sesiapa sahaja manusia yang melangkah dan merangkak di muka bumi kan? Jadi tak perlulah kita menilai seseorang melalui bahan bacaannya. Kalau macam tu budak-budak baca saja buku ikut umur. Tak perlu kembangkan minda baca buku orang tua. Sampai bila pun tak akan matang.

Aku buka Twitter. Aku nampak lagi orang bercakap tentang BABI. Tiga belas biji buku yang aku beli pada hari pertama seakan tak cukup. Aku tak puas hati. Kenapa buku ni dinamakan BABI? Lepas pula di pasaran. Masa tu dah dekat dengan pilihanraya jadi aku mula berkira-kira. Entah-entah buku ni macam SHIT. Shit lah kalau macam tu. Aku tak perlukan buku politik waktu-waktu ramai marhaen fikir punya ideologi paling agung di kedai kopi.

Tunggu punya tunggu. Akhirnya aku ke PBAKL sekali lagi untuk jumpa kawan-kawan. Yeayyyy!!! Dengarnya BABI dah mula dijual di sana jadi aku pun selit sekeping RM50 dalam dompet. Yang bagusnya pasal pesta buku, RM50 aku boleh dapat sekurang-kurangnya 3 biji buku. Lagi-lagi bila ke Lejen Press atau Fixi.

Ramai sangat orang sampai kepenatan juga nak merempuh orang. Aku buka Twitter sekali sekala. Ada tweet kata penulis BABI akan beri bookmark khas kalau datang waktu dia di situ. Kebetulan. Terus aku ke sana. Kalau dapat bookmark memang tak perlulah nak beli bookmark lain nanti. Memang perangai aku sukakan bookmark dari mengelepet buku. Aku memang tak suka buku dikelepet dengat sengaja. Terkelepet tak apalah, nak buat macam mana.

Waktu aku sampai di booth #JelajahLejenFixi memang ramai orang tahap tak beringat. Adik aku terus tanya, aku nak buku yang mana. Aku cuma beri dia duit untuk sama-sama beratur di hujung minggu depan booth yang popular tu. Rombongan sekolah memang berduyun-duyun ke sana jadi alang-alang adik aku dah menawarkan diri untuk beratur, biarkan jelah.

Rupanya dia siap beratur untuk dapatkan tandatangan Azwae Kamaruzaman, penulis novel BABI.

Bila aku dapat buku, aku tengok sudah ada bookmark, sudah ada tandatangan dgn tulisan yang kira kemaslah jugak untuk seorang budak lelaki. 

Terharu aku. Sayang juga adik aku dengan aku rupanya. Dapat autograph penulis woi! :)

Selepas dari peristiwa tu lama jugalah novel BABI berada di atas rak dan tak dibaca. Hehehe. Memanglah. Dah kata beli buku sebanyaknya. Bukan dari satu pesta buku pulak tu. Rasanya list buku yang tak dibaca lagi memang melambak. Tapi tak apalah, perlahan-lahan akan habis, aku tahu. Dulu masa ke Big Bad Wolf dan pertama kali ke BookXCess aku ada fikiran yang sama. Masa mula-mula dapat habiskan masa dekat Kinokuniya setiap hari pun aku jadi gila. Gila membeli. Tapi akhirnya dapat dihabiskan.

Entah macam mana lepas aku baca Antologi KLCC dan Pussy Untuk Perpisahan itu hari (yang aku akan review tak lama lagi), aku jadi tension pula. Buku antologi cerpen memang begitu. Kau suka satu benda itu gila-gila tapi bila kau tak suka, pun tak suka gila-gila juga. Aku baca KLCC dan PUP back to back. Memang rasa loya nak muntah. Tulisan pelbagai yang buat aku tulis update Goodreads-Twitter dengan agak emosi jugak. 

Jadi, aku ambil keputusan, kenapa tak baca fiction. Kenapa tak baca satu novel satu cerita. Rehat sekejap dari antologi.Rehat sekejap dari benda yang aku tak berapa suka :)

Aku mulakan dengan saat dalam gambar ni. Dalam LRT dari KLCC ke Pasar Seni di suatu petang yang sunyi. Tak ramai orang walau hari bekerja. Sekumpulan amoi dan seekor ah chai duduk di depan aku dengan muka tak puas hati. Satu, sebab aku Instagram handbag baru yang beli dekat Spain ni dengan kasut berwarna diorang. Aku rasa diorang perasan yang paha mereka dirakam. Satu lagi waktu aku angkat buku warna merah ni, ada satu perkataan besar terpampang :BABI.

Siapa nak baca perkataan atas tu pun kan? Takkan punyalah! Bercinta di Balik Api tu tak akan ada siapa yang baca. Malahan di Twitter dan Goodreads pon buku ini ditag sebagai BABI.Tersengih panjang aku dibuatnya.

Pujian aku berikan pada Lejen Press. Kalau dulu aku rasa Terfaktab Media mengeluarkan Sarkastik Cinta yang cantik dan detail, sekarang aku rasa bila Lejen betul-betul berentap, mereka memang lebih power dari Terfaktab (well, Diorama Eksisten memang lagi hodoh dari Lelaki Eksistensial). Aku rasa kalau Lejen Press buat buku2 yang simple, menarik dan cantik, makin ramailah orang beli buku diorang nanti. Aku tak masukkan Fixi dalam cerita ni. Fixi sudah ada cover yang ada identiti mereka sendiri. Tapi Lejen? 

Buku cantik Lejen Press bermula dengan BABI. 

Cover warna merah memang sesuai dengan jalan cerita ini. Spoiler yang aku nak berikan ialah : Buku ni warna darah period seorang wanita. Oh yes...dalam buku ni juga ada scene yang melibatkan subjek tersebut. Siapa kaki geli janganlah baca. Tapi aku sarankan walaupun muntah, sila baca sebab scene itu aku tak jumpa dalam mana-mana buku lagi :)

Gambar wanita duduk atas babi juga adalah simbolik yang aku paling suka. Tak ketara tapi mencengkam juga. Bukan sebelum baca tapi selepas baca. Engkorang tahu, aku ada satu habbit yang dinamakan, "Judge a book by its cover after reading it?" Aye. Aku suka buat tu untuk kaitkan buku dengan cover. Lepas tu aku akan mengomel, macam aku mengomel dalam blog ni lah :)

Setiap permulaan bab pula ada gambar kepala babi. Daring kan? Sangat! Tapi macam aku cakap tadi. Judge a book by its cover selepas membaca ni tak sama dengan macam bila kau tengok dulu cover baru baca. Contoh macam novel BABI ni. Modelnya adalah babi jadi kalau anda adalah seorang yang acah-acah sopan, janganlah menangis pula buka setiap bab.

Gaya bahasa dalam buku ni pun aku suka. Aku tak nampak sangat apa-apa yang major dan boleh dijadikan isu. Mungkin sebab aku sudah ada persepsi yang buku ni adalah seadanya. Aku pun bukan pembaca metafora ayat puisi.Ada separuh tulisan yang ala-ala nak jadi Fynn Jamal tu aku memang tak layan. Nasib baik novel BABI ni tak begitu. Terima Kasih Lejen kerana memikirkan buku yang mudah tapi ada isi untuk dihadam.

Yang aku gemar tu cerita ni tak bercita-cita tinggi. Tak perlu sampai ke Kuala Lumpur nak buat cerita maksiat. Cerita ini bertempat di Sungai Petani dengan telo Kedah yang pekat tak pekat sekali sekala terselit di dalam buku. Yang aku syok tu, hebat betul level of English pelacur dalam buku ni. Kalah cikgu Bahasa Inggeris atau pelajar TESL yang berdentam dentum di Twitter dek penangannya.

Disebabkan pemilihan lokasi cerita itulah segalanya nampak logik dan bertempat. Aku rasa mungkin penulis orang sana, jadi gaya tulisan pun selesa. Aku pernah komen sebelum ini yang aku cukup tak minat penulisan bajet, lagi-lagi bajet urban tapi sebenarnya had penglihatan adalah 50 meter sahaja. Taknak kalah berdebat tapi penulisan macam Muar yang darurat. Pada aku, novel BABI tidak begitu dan aku hormat pada cara penulis yang turut membawa pembaca 30an macam aku untuk berkata, ada kematangan dalam setiap ayat walau ayatnya dialog budak sekolah. Tahniah aku ucapkan.

Jalan cerita macam mana?

Sesiapa yang nak baca buku ni harus tabah. Ini hukum dunia. Realiti dan bukan durian crepe atau kek pelangi. Bahasa mudah, cerita normal tapi garapannya buat cerita ini jadi luar biasa impaknya. Sesiapa yang membaca tak perlu ada latarbelakang hebat atau pelajaran tinggi. Buku ini adalah sesuai untuk sesiapa sahaja. Kalau beri pada ibu bapa baca pun tak apa. Ayah aku pun baca buku ni dah tersenyum sambil berfikir. Jadi siapa kata buku indie hanya untuk remaja? :)

Watak-watak dalam buku ni tak ada nama-nama pelik. Kaliq, Ashram, Atilia semua tarak. Tak ada cerita Samarinda. Tak perlu wajah tampan dan deskripsi Aaron Aziz. Cerita ini cynical tanpa perlu berpura baik atau mengeji. Aku rasa kalau didramakan buku ini mesti ramai yang buat andaian itu ini. Siapa pegang watak apa. Lagi-lagi watak utama buku ini iaitu Pauziah. Pauziah watak kegemaran aku. Jahat, tapi bagus jahatnya. Jahat yang sampai aku benci, kagum, hina dan nak menangis fikirkannya. Aaaahhh...kalau aku cerita nanti korang tak baca. Bacalah. Jumpa Pauziah. Engkorang akan faham perasaannya :)

Aku juga suka dengan cerita agama dalam buku ini. Mungkin aku dah biasa baca buku Hlovate, di mana agama itu baik-baik saja. Azwar Kamaruzaman pula bawa aku ke sudut yang lain, yang aku pernah tengok tapi tak dapat gambarkan. Dia gambarkan dengan baik dan walau sensitif, masih ada tertibnya.

Cuma ada penutup yg buat aku sedikit kecewa. Terlalu dramatik sampai aku rasa kurang aura positif dalam watak yg aku letakkan sbg pendorong cerita. Kadang-kadang dalam gelap kena ada sedikit cahaya. Waima dalam kubur kan? Mungkin itu yang penulis patut fikirkan.

Apapun...tahniah! Percubaan pertama yg daring tapi bermutu. Paling penting, kondom dlm cerita ini ada pengajarannya. Bukan sekadar bercerita kondom strawberry ;)

Should you buy the book?

Aye aye! You should. Please. Dunia dalam persepsi gelap ada masanya buka mata kita. 4 bintang ikhlas dari aku di Goodreads. Tahniah Lejen Press, tahniah penulis. Tahniah untuk pembaca berani :)